20 faktor si dia boleh dipercaya
Mempercayai seseorang bukanlah mudah sebenarnya. Jika baru
mengenalinya tentu perasaan sangsi akan timbul dari sanubari. Ada juga yang sudah lama mengenali tapi masih
juga belum mempercayai. Dalam satu perhubungan, tidak wajar sekiranya kamu
masih tidak ada kepercayaan terhadap si dia. Walaupun mungkin kamu tidak akan
mempercayai si dia seratus peratus, tapi tak salah kalau kamu meletakkan
anggaran dibawah 70 peratus keyakinan kamu terhadapnya. Tapi mudahkah kamu
melakarkan kepercayaan terhadap si dia? Sebenarnya ada faktor-faktor yang boleh
menimbulkan kepercayaan.
Faktor 1 - Konsisten
Kamu mempercayai apa yang dilihat dan didengar tanpa syak
wasangka. Bagi kamu apa yang dibicarakan tidak perlu disangsi kerana ianya ada
kebenaran serta boleh mendatangkan kebaikan dalam perhubungan kamu. Tapi
berhati-hatilah kerana mungkin dengan cara ini si dia boleh ‘menjerat’ kamu.
Siapa tahukan!
Faktor 2 - Boleh dikawal
Perkara-perkara yang bagi kamu adalah konsisten membuatkan
kamu boleh menganggap adakah si dia boleh dikawal ataupun tidak. Contohnya, si
dia akan datang tepat pada waktu yang dijanjikan dan boleh menerima pendapat
kamu. Maknanya kamu boleh ‘mengawal’ dirinya dari melakukan perkara yang tidak
kamu sukai. Bukanlah bermakna kamu boleh mengongkongnya tetapi jika si dia
menuruti kehendak kamu ini bermakna si dia mempercayai kamu dan tidak ragu-ragu
dengan cara kamu.
Faktor 3 - Komitmen
Komitmen bukanlah sekadar menepati janji, tapi juga
menghargai perjanjian yang telah dipersetujui bersama. Jika kamu ataupun si dia
berani berkomitmen dan bersungguh-sungguh dalam perhubungan , tentu saja
perhubungan kamu ceria dan aman. Sikap saling mempercayai yang wujud dalam diri
masing-masing akan mewarnai lagi perhubungan kamu itu. Malah ianya akan
membuatkan si dia lebih yakin dengan kejujuran kamu terhadapnya. Jadi tiada
alasan untuk si dia berlaku curang terhadap kamu.
Faktor 4 - Kejujuran
Kejujuran memang perlu untuk menjamin sebuah perhubungan
yang bahagia. Kamu juga tidak patut menyembunyikan perkara-perkara yang
sepatutnya diketahuinya. Jika kamu dan si dia jujur , ini membolehkan kamu
berdua tidak takut untuk berbahas kerana berpendapat ianya juga untuk kebaikan
bersama. Walaupun adakalanya tercetus pertengkaran kecil kerana masing-masing
ingin mengutarakan pendapat sendiri, tetapi akhirnya mengambil keputusan untuk
memilih pendapat yang terbaik demi menjamin perhubungan yang stabil.
Faktor 5 - Terima seada-adanya
Kunci keintiman dalam suatu perhubungan adalah menerima
seadanya baik buruk pasangan kamu. Bila hati sudah suka dan sayang, tentu saja
kamu sanggup menerimanya walaupun menyedari tentunya ada perkara-perkara
negatif tentangnya. Namun begitu, tentunya kamu dan si dia berusaha untuk
berubah jika terdapat sikap-sikap yang tidak disenangi hingga boleh menjejaskan
perhubungan. Usaha kamu dan si dia ini menampakkan kesungguhan yang amat ketara
demi menjamin perhubungan.
Faktor 6 - Perlu dimengertikan
Sebahagian besar individu menginginkan pasangan yang tidak
hanya mendengar pendapat sebelah pihak. Malah harus bijak mengutarakan pendapat
sendiri. Kamu juga tentunya berharap agar si dia mengerti tentang pandangan
kamu terhadap pelbagai perkara. Jika tidak, mungkin perhubungan hanya mendatar
saja. Bukan itu saja, kemarahan juga boleh timbul ekoran perasaan yang tidak
dimengertikan dan menganggap diri kamu tidak dihargainya.
Faktor 7 - Simpati
Simpati adalah usaha untuk memberikan pengertian yang lebih
mendalam, seakan berusaha menempatkan diri kita di dalam emosi si dia.
Sebenarnya tidak mudah melakukan perkara ini. Tapi bila dapat menimbulkan
simpati, kebanyakan pasangan mampu mengatasi perkara-perkara yang boleh
menimbulkan pertengkaran dan perselisihan pendapat kerana memahami sesuatu yang
boleh mengganggu hubungan.
Faktor 8 - Diyakini
Bila rasa yakin, kamu boleh memberi pandangan bersama si
dia. Baik dalam hal-hal remeh temeh hinggakan ke perkara yang serius. Kamu akan
merasa si dia bukan saja mendengar malah akan menyimpan rahsia kamu. Apa yang
penting kamu juga harus mengetahui dan berkeyakinan adakah si dia memang boleh
menyimpan rahsia ataupun tidak!
Faktor 9 - Perbezaan pendapat
Memanglah tak dapat lari dari perbezaan pendapat antara kamu
dan si dia. Mereka yang berusaha terlalu keras untuk menyangkal atau takut
mengakui bahawa dirinya berbeza pendapat dengan pasangannya selalunya seorang
yang tidak berani menghadapi kenyataan. Tak mungkin akan selalu sama pendapat
sebaliknya mampu berkompromi untuk menunjukkan kedewasaan masing-masing.
Faktor 10 - Elakkan dendam
Cinta sejati akan diwarnai oleh pengertian dan rasa untuk
dimaafkan. Kerana dendam boleh menjadi punca kehancuran sesebuah perhubungan.
Walaupun pernah dilukai, namun perasaan dendam ataupun membalas balik mungkin
tidak akan terlintas dalam fikiran. Bagi diri kamu, mungkin berdendam bukanlah
jalan penyelesaian yang terbaik malah ianya akan memburukkan lagi keadaan. Oleh
sebab itulah kemaafan adalah perkara yang terbaik untuk menjernihkan suasana.
Faktor 11 - Berfikiran terbuka
Banyak pasangan merasakan tidak perlu untuk mengungkapkan
secara lisan apa yang ada dibenaknya. Walaupun hakikatnya perkara itu sangat
penting dan perlu disampaikan secepat mungkin bagi menggelakkan perkara yang
tidak diingini akan berlaku. Oleh sebab itulah, jalan yang terbaik ialah setiap
individu harus berfikiran terbuka. Bukannya harus menerima pendapatnya tanpa
perlu berfikri panjang sebaliknya kita harus mendengarnya dahulu dan barulah
membuat keputusan. Tak semestinya apa yang dikatakan tidak elok begitu juga
sebaliknya.
Faktor 12 - Tulus dan jujur
Ketulusan dan kejujuran memainkan peranan yang penting dalam
sesebuah perhubungan. Bukan saja dari segi perbuatan malah juga percakapan. Apa
yang ingin disampaikan haruslah dengan niat sejujur yang mungkin dan bukanlah
hanya untuk melindungi kesilapan. Pilihlah kata-kata yang sedap didengar dan
senang dimengertikan. Melalui komunikasi, kita juga boleh ‘menangkap’ adakah si
dia jujur dan tulus ataupun sebaliknya.
Faktor 13 - Tak selalu didampingi
Bukan semua orang sukakan kekasihnya sentiasa disisi. Ada juga yang inginkan
sedikit kebebasan dan asal bijak mengawal diri itu sudah cukup memadai. Apa
yang penting, jika si dia tidak menemani kamu, jangan pula berfikir yang
bukan-bukan dan mulalah menganggap yang si dia sengaja mahu mengabaikan kamu.
Singkirkan perasaan ini kerana ini bukanlah niatnya sebaliknya ingin memberikan
kamu sedikit ruang untuk menjalani aktiviti sendiri.
Faktor 14 - Jauh di mata dekat di hati
Saat terpisah dek jarak yang jauh sebenarnya banyak mengajar
kita erti rindu yang sebenar. Walaupun tempohnya agak lama, haruslah
mempercayai jarak dan waktu tersebut tidak akan memisahkan diri kamu dan si
dia. Perasaan ini harus wujud walaupun tidak selalu dapat bersua namun perasaan
saling merindu dan menyayangi akan menguatkan lagi perhubungan kamu itu. Apapun
teguhkan hati dan pendirian kamu bahawa hanya cinta si dia sahaja yang
bertakhta di hati.
Faktor 15 - Persamaan
Persamaan antara kamu berdua akan menguatkan lagi rasa cinta
bila masing-masing yakin bahawa hubungan itu diimbangkan dengan prioriti utama.
Jangan hanya mementingkan hak seorang diri saja dan haruslah mengambil berat
tentang kedua belah pihak. Sebenarnya kamu berdua saling memerlukan antara satu
sama lain untuk memastikan keseimbangan dalam perhubungan.
Faktor 16 - Tak saling menyalahkan
Tak selalu hubungan yang terjalin berjalan lancar dan
adakalanya ia akan ‘bergegar’ jua. Hubungan cinta yang lancar haruslah tidak
dilandasi sikap saling menyalahkan. Apa yang terjadi merupakan interaksi dari
dua pihak yang memiliki kebebasan mengeluarkan pendapat dan keinginan yng
berbeza. Menyalahkan antara satu sama lain bukanlah boleh menyelesaikan masalah
sebaliknya akan menjejaskan lagi hubungan. Keegoan mungkinlah penyebab mengapa
kamu dan si dia saling menyalahkan antara satu sama lain.
Faktor 17 - Hormat-menghormati
Saling hormat-menghormati adalah dasar perhubungan yang
positif. Kamu harus menghormati si dia dan begitu juga sebaliknya. Tapi jangan
kerana terlalu menghormatinya hinggakan kamu berasa amat segan dengannya. Ini
akan mendorong rasa malu dan segan untuk meluahkan apa yang kamu pendamkan dan
membuatkan hubungan kamu sukar untuk berkembang. Oleh sebab itulah kamu perlu
membatasi rasa hormat dan segan terhadap si dia.
Faktor 18 - Penghargaan
Tidak salah sekiranya kamu menghargai si dia. Bukannya
hendak menyanjung tinggi ataupun terlalu memuja dirinya. Tetapi biarlah sekadar
si dia tahu yang kamu amat mengharagi kasih dan dirinya. Caranya? Emmm… hanya
kamu saja yang tahu bagaimana kerana lain orang lainlah caranya. Apapun kalau
kamu memang sayangkannya, jangan segan silu untuk menunjukkan perasaan kamu
serta jangan lupa harga perasaan dan dirinya.
Faktor 19 - Bukan materialistik
Bayangkanlah kalau kamu seorang yang materialistik? Mesti
kekasih kamu ‘pokai’ dibuatnya. Mana taknya kalau kamu minta yang bukan-bukan.
Dalam perhubungan, jangan sesekali kamu menjadikan wang sebagai punca utama
mengapa kamu memilih si dia. Jika ianya terjadi, hubungan kamu mungkin sukar
bertahan lama dan membuatkan si dia akan berprasangka terhadap kamu.
Faktor 20 - Perancangan bersama
Manusia hanya mampu merancang tapi Tuhan yang menentukan
segalanya. Tapi ada bagusnya kalau kamu dan si dia merancang sesuatu untuk
menjamin kebahagian. Tentunya kamu sendiri inginkan yang terbaik demi masa
depan bersama. Bukan mudah untuk mencipta kebahagiaan dan mengecapi
kegemilangan dalam perhubungan. Pastinya semua mengimpikan sesuatu yang indah
dalam perhubungan. Begitu juga kamu bukan? Apa perancangan kamu agaknya ye?
Apri yansah ‘ king stones